Sabtu, 18 April 2009

Haji Abdur Rahman Limbong Ulama dan Pahlawaan atau Pengkhianat Melayu


Haji Abdur Rahman Limbong ulama dan pahlawan Melayu

Posted in rencana at 5:35 am by khazanahnasional

Haji Abdur Rahman Limbong ulama dan pahlawan Melayu
Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

WAN Mohd. Shaghir Abdullah berceramah tentang
Haji Abdur Rahman Limbong dalam satu majlis di
Terengganu, baru-baru ini.
———— ——— ——— ——— ——— ——— -

TERLALU banyak permintaan melalui e-mel dan telefon
supaya memperkenalkan ulama yang berjuang untuk
memerdekakan tanah air dari cengkaman penjajah.
Seiringan dengan itu pula mereka minta pengertian
makna jihad menurut yang ditakrif oleh para ulama yang
muktabar terutama ulama dunia Melayu.

Ini kerana, menurut mereka, setelah pengeboman Pusat
Dagangan Dunia (WTC) Amerika Syarikat (AS) pada 11
September 2001, terjadi simpang siur pentafsiran makna
jihad. Simpang siur pentafsiran tersebut disebabkan
ada golongan yang terlalu takut tekanan dan ancaman
pihak imperialisme AS dan Barat dan sebaliknya ada
golongan mujahid-mujahid Islam yang radikal, sangat
berani dan anti terhadap AS dan Barat.

Apa yang saya rakamkan dalam tulisan ini bukan
mendabik dada supaya diakui sebagai seorang pejuang.
Namun, saya hanya mengikut rentak dan peristiwa yang
berlaku. Sekurang-kurangnya ada tiga isu terkini yang
dijadikan iktibar perbandingan.

Yang pertama ialah laungan memperingati kemerdekaan
besar-besaran Malaysia yang ke-50. Yang kedua,
peristiwa Saddam Husein, bekas Presiden Iraq dihukum
gantung sampai mati oleh orang-orang Islam sendiri
kerana terlalu patuh kepada penjajah bentuk baru AS
yang ‘menjajah’ Iraq, Afghanistan, dan lain-lain.

Yang ketiga, kejayaan musuh-musuh Islam mengadu domba
antara golongan Syiah dan Sunah.

Semua isu yang tersebut dapat dijadikan perbandingan
dengan perjuangan ulama dunia Melayu. Bahawa mereka
berjuang untuk kemerdekaan membebaskan bangsa Melayu
dari segala bentuk dan corak penjajahan masa lampau,
sekarang dan masa-masa akan datang. Saya mulai dengan
Haji Abdur Rahman Limbong seorang pahlawan bangsa
Melayu di Terengganu.

Izinkan saya untuk turut aktif menyambut laungan
memperingati kemerdekaan besar-besaran Malaysia yang
ke-50 dengan memaparkan beberapa ulama yang perjuangan
mereka tidak pernah takut menggunakan istilah jihad.
Di antara mereka ramai yang ditangkap dan diseksa.
Yang digantung ialah Tok Janggut Kelantan, persis
seperti Saddam Husein digantung baru-baru ini.

Ulama pejuang dalam artikel ini nama lengkapnya ialah
Haji Abdur Rahman Limbong bin Haji Abdul Hamid bin
Haji Abdul Qadir. Lahir tahun 1285 H/1868M, wafat di
Mekah, 1347 H/1929M. Datuk neneknya berasal dari
Patani dan Terengganu.

Haji Abdur Rahman Limbong juga seperti gurunya Tok Ku
Paloh, iaitu seorang sufi pengamal Tarekat Sammaniyah.
Sungguhpun Haji Abdur Rahman Limbong seorang ahli
sufi, namun beliau juga bijaksana dalam seluk belok
persoalan dunia.

Ini dapat dibuktikan dengan berkali-kali beliau
berhujah di mahkamah kerana membela rakyat yang
disaman oleh pihak pemerintah Inggeris. Haji Abdur
Rahman Limbong adalah seorang sufi yang pernah menjadi
peguam. Saya simpulkan saja bahawa Haji Abdur Rahman
Limbong perlu kita kenali, dalam dunia sufi tangannya
selalu bersih membilang-bilang buah tasbih.

Di mahkamah, lisannya fasih berkata-kata membela
kebenaran yang disandarkan kepada perintah Allah dan
rasul. Bukannya membela undang-undang ciptaan manusia.
Di gelanggang medan laga pandai bermain senjata. Hidup
di dunia ini tiada sesuatu apa pun yang ditakutinya
kecuali kemurkaan Allah kerana melanggar perintah
Allah dan rasul-Nya.

Haji Abdur Rahman Limbong mendapat pendidikan asas
ilmu-ilmu Islam sejak kecil di Mekah. Yang paling
utama mencorak peribadinya ketika kanak-kanak ialah
Haji Tun Muhammad, salah seorang ayah saudaranya.

Ketika pulang ke Terengganu beliau mendapat pendidikan
dari Haji Ya’qub dan Haji Musa. Kedua-dua ulama itu
tinggal di Paya Bunga. Selanjutnya yang membentuk
peribadi Haji Abdur Rahman Limbong menjadi seorang
sufi dan pejuang jihad ialah Tok Ku Paloh, ulama
Terengganu yang terkenal.

Tok Ku Paloh juga adalah seorang pejuang (selengkapnya
lihat judul Tok Ku Paloh Al-Aidrus, Pejuang Islam dan
Bangsa Melayu (18 September 2006).


Setelah menguasai ilmu yang padu dan memadai Haji
Abdur Rahman Limbong aktif mengajar masyarakat di Hulu
Terengganu. Jika kita teliti kitab-kitab yang beliau
ajar meliputi beberapa disiplin ilmu.

Antaranya ialah al-Ajrumiyah hingga kepada Mutammiman
dan Tashil Nail al-Amani mengenai ilmu nahu, semuanya
dalam bahasa Arab. Matn Umm al-Barahin, mengenai ilmu
tauhid. Untuk lebih memantapkan juga diajarkan
kitab-kitab tauhid bahasa Melayu, yang pasti tidak
diabaikan ialah Faridah al-Faraid dan ad-Durr
ats-Tsamin.

Kitab fikah bahasa Arab yang pernah diajarkan oleh
Haji Abdur Rahman Limbong ialah Kitab Tahrir dan ilmu
tasawuf ialah Hidayah as-Salikin dan ad-Durr an-Nafis
kedua-duanya dalam bahasa Melayu.

Selain mengajar, Haji Abdur Rahman Limbong adalah
seorang ulama yang suka mengembara atau merantau ke
beberapa buah negeri. Soal kewangan untuk mengembara
tidak sukar baginya kerana di mana tempat beliau
berpijak, ada saja penduduk yang mahu menjadi
muridnya. Pengembaraan yang dekat dengan Terengganu di
antaranya ialah Beserah, Kuantan, kedua-duanya dalam
Pahang. Selanjutnya Kelantan, Patani, Kedah dan
lain-lain.

Negeri-negeri seberang laut yang pernah beliau
merantau ialah Sambas, Jambi, Riau dan Brunei. Di
negeri-negeri seberang laut itu juga terdapat
murid-murid Haji Abdur Rahman Limbong.

Pengembaraan beliau ke negeri-negeri tersebut
mempunyai kisah yang panjang, tetapi yang dapat
diungkapkan di sini ialah tentang di Sambas dan
Kepulauan Riau saja. Dalam pelayaran di laut, Haji
Abdur Rahman Limbong menggunakan perahu buatan orang
Terengganu sendiri. Beliau berlayar bersama-sama
dengan murid-muridnya dari Terengganu dan juga ahli
pelayaran pada zaman itu, bahawa mereka telah
menggunakan perahu-perahu yang berukuran besar yang
boleh dimuat barang-barang antara 100 hingga 350 tan.

Di antara tempat-tempat yang ramai dihuni oleh
orang-orang yang berasal dari Terengganu di Kepulauan
Riau yang dikenalpasti ialah di Kuala Maras dalam
Kepulauan Jemaja, Kepulauan Siantan dan Pulau Midai.
Di Sambas pula ialah di Kampung Dungun, Kecamatan
Sentebang. Nama Dungun itu diberi oleh orang-orang
Terengganu sebagai mengenang negeri asal mereka, iaitu
Dungun di Terengganu. Nama Dungun itu masih kekal
digunakan sampai sekarang. Dipercayai di tempat-tempat
tersebut pernah dijelajahi dan menerima didikan dari
Haji Abdur Rahman Limbong.

Nama Haji Abdur Rahman Limbong saya dengar sejak kecil
lagi dari ibu saya, Hajah Wan Zainab binti Syeikh
Ahmad al-Fathani ketika beliau menceritakan pembinaan
sebuah masjid di Sabang Barat, Pulau Midai, bahawa
bahan utama bangunan ialah kayu cengal.

Semuanya dibawa dari Terengganu dengan sebuah perahu
besar. Bahan-bahan itu semuanya selesai dikerjakan di
Terengganu hanya tinggal pasang saja di Pulau Midai.
Masjid itu hingga tahun 1969 masih berdiri dengan
megahnya tetapi manakala yang menjadi pemimpin pada
tahun tersebut seorang yang tidak memahami nilai-nilai
sejarah, masjid itu dimusnahkan lalu didirikan
bangunan yang baru. Nilai sejarah yang masih tinggal
hanyalah sebuah mimbar yang dihiasi ukiran-ukiran.
Mimbar tersebut juga berasal dari Terengganu.

Imam yang pertama masjid yang tersebut ialah Haji Wan
Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar yang mendapat
pendidikan di Mekah. Dipercayai Haji Wan Abdur Rahman
bin Wan Abu Bakar berkenalan dengan Haji Abdur Rahman
Limbong sejak kedua-duanya tinggal di Mekah lagi.
Selanjutnya Haji Abdur Rahman Limbong juga pernah
sampai di daerah Pulau Tujuh termasuk Kuala Maras dan
Pulau Midai yang disebutkan di atas.

*PEMBERONTAKAN

Zaman dulu dan zaman sekarang sama saja, bahawa orang
yang tidak berpihak kepada kebenaran menyangka yang
menang itulah yang benar. Yang kalah itulah
disangkanya salah. Sejarah dunia selalu saja mencatat
bahawa penyelewengan dan pengkhianat sesuatu bangsa
atau pun agama apabila dalam perjuangan selalu
berpihak kepada musuh. Tetapi apabila keadaan telah
aman, mereka pula yang mengaku dirinya sebagai pejuang
bangsa atau pun pejuang agama.


Dunia Melayu tidak terlepas dari perkara itu.
Indonesia berjuang melawan Belanda, Semenanjung Tanah
Melayu melawan Inggeris dan Siam, umat Islam-Melayu
Patani melawan Siam dan umat Islam Mindanao melawan
Filipina. Sepanjang tahun 1920 hingga tahun 1928
terjadi gerakan Haji Abdur Rahman Limbong dan rakyat
tani di Hulu Terengganu menentang Inggeris.

Sungguhpun ramai orang Melayu Islam yang menyokong
perjuangan beliau melawan penjajahan Inggeris, namun
tidak kurang juga pengkhianat bangsa dan Islam yang
terlalu yakin terhadap penjajah Inggeris. Semua bangsa
penjajah yang menjajah sesuatu bangsa di mana saja di
dunia ini sebenarnya adalah tidak sah.


Oleh itu, dalam zaman kita yang telah merdeka sekarang
ini, perjuangan Haji Abdur Rahman Limbong dan
beribu-ribu pengikutnya adalah wajar dan sah dari segi
undang-undang dunia. Apatah lagi ditinjau dari
pandangan Islam yang mewajibkan kita berjihad apabila
kita dijajah oleh orang-orang yang bukan Islam.

Bagaimanapun sewaktu Inggeris masih sebagai bangsa
penjajah di Terengganu, demikian liciknya H. W.
Thomson dan J. L. Humphreys membuat laporan keadaan
menjadi sebaliknya. Kononnya, Haji Abdur Rahman
Limbong dan pengikutnya adalah sebagai penderhaka
kepada pemerintahan yang sah.


Akhirnya Haji Abdur Rahman Limbong ditangkap dan
dibuang ke Singapura dan selanjutnya dibuang ke Mekah
dalam tahun 1928. Setahun kemudian (tahun 1929 M),
ulama pejuang Islam dan bangsa Melayu itu meninggal
dunia. Sejarah mencatat bahawa sebab-sebab timbul
pemberontakan adalah kerana rakyat golongan petani
berasa dirugikan oleh pihak penjajah Inggeris.

Dalam tahun 1920-an, Inggeris campur tangan untuk
mentadbir tanah di lokasi Kuala Telemong hingga ke Ulu
Telemong. Setiap ekar tanah yang dibuka oleh rakyat
dikenakan cukai oleh penjajah Inggeris.


Jika kita berfikir secara bebas dan merdeka, apa
haknya bangsa Inggeris tiba-tiba mengutip cukai dalam
negeri Terengganu yang sejak lama telah berkerajaan
sendiri sedangkan mereka hanyalah satu bangsa
pendatang.


Oleh sebab itulah, Haji Abdur Rahman Limbong dalam
hujah-hujahnya di mahkamah bahawa tanah yang dibuka
oleh rakyat itu adalah hak Allah bukannya hak negeri.
Mungkin maksud negeri itu adalah yang ada campur
tangan penjajah Inggeris.


Haji Abdur Rahman Limbong menegaskan bahawa tanah yang
mereka miliki adalah tanah pusaka peninggalan
orang-orang tua mereka yang datang dari Johor
bersama-sama dengan Sultan Zainal Abidin I, Sultan
Terengganu yang pertama. Dari riwayat ini dapat kita
membuat kesimpulan bahawa orang-orang Melayu Islam di
Hulu Terengganu dalam tahun 1920 lagi, di bawah
bimbingan Haji Abdur Rahman Limbong, sudah kenal jati
diri, kenal terhadap haknya, kenal terhadap tanah air,
dan kenal terhadap bangsa sendiri.

Oleh itu, bangsa penjajah Inggeris yang cuba campur
tangan dalam pentadbiran tanah wajib dilawan. Kita
patut mengucapkan jutaan terima kasih kepada ulama
seperti Haji Abdur Rahman Limbong yang telah membuka
mata putera-putera bangsa mengenali ajaran Islam yang
sebenar sekali gus bangsa Melayu Islam adalah
mempunyai harga diri jangan dapat ditipu daya oleh
bangsa penjajah.


sumber : http://khazanahnasional.wordpress.com
..............................................................................

Sebagai seorang ulama yang berpengaruh, sumbangan Haji Abdul Rahman tidak terhad kepada pengajaran ilmu agama sahaja. Beliau juga telah memberi sumbangan yang banyak dalam memperbaiki taraf ekonomi masyarakat Melayu setempat.

Haji Abdul Rahman telah membuka kilang membuat kapur tohor dan bata di Losong dengan tujuan menggalak dan memberi peluang kepada orang Melayu menceburkan diri dalam bidang perusahaan. Konsep berbakti kepada tanah juga diperkembangkan oleh Haji Abdul Rahman kepada orang lain supaya mereka terus maju. Beliau mengesyorkan dipelbagaikan jenis tanaman, dan pernah menyuruh petani membersihkan dusun durian untuk ditanam dengan kapas, pisang dan padi.


sumber : http://malay.cari.com.my/archiver/?tid-286354.html

* PERINGATAN KEPADA YANG BERAKAL ;

JANGAN KITA MENGHINA DAN MEMPERTIKAIKAN ALIM-ULAMA , SESUNGGUHNYA JIWA MEREKA JAUH DARI DUNIA TETAPI IKHLAS KEPADA ISLAM DAN ALLAH TAALA...

- jangan kita bersahabat dengan kaki maksiat , jiwa pengkhianat , penipu ( berlidah dua bertelinga satu ), tidak beriman pada janji ALLAH dan manusia bertopeng berani tetapi jiwa mereka sebenarnya penakut

Tiada ulasan:

Catat Ulasan